Bipolar Disorder

Minggu lepas, saya di tanya mengenai penyakit manic depression atau nama lain nya – bipolar disorder.

Ini lah dia, bipolar. Akan tetapi penyakit ini secara amnya ada dua yang sering diperkatakan, bipolar type 1 dan type 2. Type 1 adalah seperti infografik ini, ada waktu murung dan ada waktu tersangat happy. Bagi type 2, murung berlaku selalu tetapi waktu tersangat Happy tak ada. Yang ada, adalah waktu happy yang kecil dan tidak berpanjangan, kita namakannya hypo mania 😅

Untuk yang mempelajari isu bipolar ini diperingkat ijazah tinggi, mengikut kajian ada satu lagi kenos bipolar yang dinamakan mixed phase dan rapid cycling. Mengikut Akiskal, pengkaji terkenal bipolar dari Turki, beliau mengatakan ada berbagai variant bipolar ini 😳

Saya rasa yang penting adalah, walaupun sering diperkatakan, bipolar ini cuma dihidapi lebih kurang 1% rakyat. Yup cuma 1%. Rawatan nya ada di Malaysia. Pesakit memerlukan ubatan yang di panggil mood stabiliser. Kalau dirawat awal, keadaan mereka ini terkawal sangat dan mereka dapat berfungsi dengan sangat baik. Kalau dah tak sihat, biasanya kita akan jumpa mereka pertama kali di A&E memerlukan rawatan rapi dan mungkin terpaksa di jemput tidur di wad. Bila dirawat, insyallah cepat sembuh.

Pesakit bipolar penting dirawat awal oleh kerana simptom mania boleh menjerat diri sendiri. Risiko pengambilan dadah ataupun penglibatan diri dalam situasi tidak baik boleh berlaku. Mereka juga kadangkala di ambil kesempatan di atas.

Ramai orang terkenal sering dikaitkan dengan penyakit ini, antaranya Britney Spears dan Churchill. Maknanya, ramai pesakit ini boleh berjaya pada tahap tinggi. Ramai juga pesakit saya yang bergelar bipolar juga masih bekerja sebagai ahli perniagaan terkenal ataupun pangkat tinggi di syarikat2 di Malaysia. Bipolar yang telah dirawat bukan penghalang. Ada yang dapat berjaya tetapi rahsianya adalah perlu mendapat rawatan, makan ubat tanpa tinggal dan sering memperbaiki diri. Tiada jalan pintas. Usaha masih diperlukan.

Kalau kawan atau keluarga mungkin menghidapi penyakit ini. Datang lah berjumpa dengan kami 😊

Sharing is caring 👍

#mentalmalaysia #mentalhealthawareness #letstalkMY

Wanita & Skizofrenia Sering Disalah Erti

Artikel asal di KampusUOLS (link)

Skizofrenia merupakan salah satu penyakit mental yang sering disalah tafsir dan mendapat stigma yang paling tinggi. Malahan, perkataan ‘gila’ yang sering kita dengari selalu dikaitkan dengan simptom – simptom penyakit ini.

Walaupun jumlah pesakit ini sangat kecil, 1% menurut kajian, akan tetapi isu-isu tempatan dan luar negara yang negatif sering dikatakan dilakukan oleh mereka yang mengalami skizofrenia, di antaranya adalah keganasan, isu bunuh dan juga bunuh diri.

Seringkali juga, isu ini dilaporkan oleh kaum lelaki, maka adakah skizofrenia boleh didapati dalam kalangan wanita? Jika ia, adakah adanya persamaan antara lelaki dan wanita jika berpenyakit skizofrenia?

Kajian dan juga pengalaman klinikal menunjukkan bahawa skizofrenia tidak mengenali jantina. Malahan juga, ratio di antara lelaki dan wanita adalah sama. Dalam erti kata lain, kebarangkalian mendapat skizofrenia adalah sama di antara kedua-dua jantina. Tetapi, menurut kajian, kebiasaannya kaum lelaki akan lebih awal menunjukkan simptom dan didiagnosis.

Satu sebab dikatakan bahawa adanya hormon wanita yang mungkin mengurangkan risiko penyakit ini semasa awalan, terutamanya mengikut teori estrogen skizofrenia. Satu lagi teori untuk lelaki didapati lebih sering didiagnosis adalah disebabkan lelaki perlu lebih agresif untuk mendapat kerja dan diperkenalkan kepada tekanan lebih awal berbanding wanita. Akan tetapi, jika adanya kaum keluarga yang adanya penyakit mental dan/atau skizofrenia maka risiko diagnosa awal lebih tinggi bagi kedua-dua jantina.

Kebanyakan simptom skizofrenia adalah sama dalam kalangan lelaki dan wanita. Kebiasaannya diagnosa akan diberikan jikalau adanya simptom positif dan negatif skizofrenia yang aktif iaitu berterusan untuk sebulan. Kadang-kadang simptomnya datang dan pergi dan kebiasaannya diagnosa akan diberikan jika simptomnya melarat untuk enam bulan dan lebih.

Antara simptom positif dan negatif ini termasuk; halusinasi, delusi, kecelaruan pertuturan (disorganised speech), kecelaruan tingkah laku (disorganised behaviour), simptom negatif yang termasuk antaranya, simptom depresi, suka menyendiri, kurang motivasi, kurang bercakap, kurang aktif (avolition)Simptom boleh terhasil dari pelbagai deria tubuh, termasuklah penglihatan dan pendengaran -Gambar sekadar hiasan


Simptom boleh terhasil dari pelbagai deria tubuh, termasuklah penglihatan dan pendengaran -Gambar sekadar hiasan

Untuk diagnosa skizofrenia, perlu dipastikan bahawa tiada penyakit lain seperti kemurungan klinikal, bipolar dan masalah kesihatan fizikal lain seperti sawan, barah atau infeksi otak yang juga boleh menunjukkan simptom yang sama kadang kala.

Maka, tidak mustahil untuk doktor yang merawat mencadangkan agar pesakit diminta untuk mendapatkan kajian imej seperti imej CT ataupun MRI, ataupun mendapat ujian darah sebelum diagnosa tepat diberikan. Ini penting memandangkan, rawatan untuk penyakit fizikal seringkali diperlukan cepat berbanding jika penyakitnya skizofrenia.

Seringkali juga didapati kaum lelaki akan mempunyai lebih simptom negatif berbanding wanita. Kurangnya simptom negatif ini dan juga usia lambat untuk mendapat diagnosis sering dikaitkan juga dengan prognosis yang lebih baik. Kaum wanita juga didapati kurang menyalahgunakan dadah yang juga ada kaitan dengan penyakit ini.

Biasanya dadah digunakan untuk merawati diri sendiri kerana gangguan disebabkan simptom seperti halusinasi contohnya. Ini merupakan satu isu positif bagi kaum wanita yang adanya skizofrenia. Satu peringatan adalah dadah ganja didapati mempercepatkan simptom skizofrenia, maka ia perlu dijauhi terutamanya jika ahli keluarga mengalami masalah ini!

Apakah jika didapati adanya skizofrenia, ia boleh dirawat? Jawapannya adalah, YA! Skizofrenia boleh dirawat dan rawatan awal berkesan untuk mengurangkan dan menghilangkan simptom dan untuk segelintir pesakit, mereka boleh berfungsi seperti sebelum sakit.

Kadangkala akan kehilangan sedikit kebolehan, tetapi ada kes di mana pesakit dapat bekerjaya dan hidup seperti biasa. Tetapi rawatan mesti digunakan setiap hari tanpa lupa dan diagnosis dan rawatan perlu diberikan awal. Malangnya, mengikut kajian juga, lebih 70% pesakit yang baru diberikan diagnosa tidak mengikut rawatan dengan jitu dan sering lupa ubatan.

Malah, ada ahli keluarga dan rakan-rakan yang tidak peka dan percaya akan diagnosis ini menyebabkan ada kes di mana ahli keluarga selepas keluar wad tidak bekerjasama di dalam rawatan pesakit. Sering juga kedengaran bahawa bila dah melarat sahaja, barulah pesakit akan ke hospital dan kadangkala, terlambat!

Kajian kami di Universiti Malaya menunjukkan bahawa ia mengambil lebih kurang lima tahun sakit dan tiga tahun dengan simptom halusinasi dan delusi baru ke hospital. Satu jangka masa yang terlalu panjang.

Walaupun rawatan sedia ada berkesan dan boleh membantu, ada isu-isu dalam kalangan wanita yang perlu diberikan perhatian. Ubatan lama boleh memberikan kesan sampingan pergerakan yang lebih sensitif di kalangan wanita yang menggunakannya, juga ada antara ubatan ini yang boleh menyebabkan selera makan naik dan isu kegemukan.

Jika tidak dikesan dan dibincangkan, ia akan menyebabkan kurang minat untuk meneruskan rawatan. Ada juga kes di mana ubatan yang diberikan menaikkan hormon prolaktin yang mungkin menyebabkan masalah haid. Maka simptom tiada dan pesakit baik akan tetapi kadangkala rasa tidak ‘lengkap’ oleh kerana tiadanya haid bulanan.

Wanita yang masih di dalam umur reproduktif juga perlu diberi perhatian khusus. Skizofrenia tidak menafikan hak dan kebolehan untuk menjalinkan hubungan, berkahwin dan mengandung. Tetapi, kedua-dua pihak perlu sedar bahawa dengan penyakit kronik sebegini, perbincangan awal untuk berkahwin dan mendapat anak adalah penting. Perbincangan bersama doktor yang merawat juga penting seawal sedar dan inginkan zuriat agar satu perancangan yang baik dapat dilakukan untuk memastikan ibu dan bakal anak selamat dan sihat.

Kesimpulannya, penyakit skizofrenia tidak mengenal jantina tetapi wanita yang berpenyakit ini mempunyai isu-isu unik yang perlu diberikan perhatian dan dibincangkan bersama. Rawatan sedia ada berkesan dan selamat digunakan dan lagi awal dikesan, lebih baik prognosisnya.